SEPANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berhubung video tular dua penunggang basikal dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta di Jalan Dengkil, Kota Warisan, dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian jam 7.15 pagi itu dipercayai berlaku kerana pemandu kereta terleka ketika memeriksa mesej daripada aplikasi e-hailing di telefon bimbit.

Beliau berkata, pemandu kereta yang berada di lorong kiri dari arah Kajang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah terlanggar belakang sebuah basikal, menyebabkan penunggang basikal tersebut melanggar seorang lagi penunggang basikal lain.

"Ketika sampai di Jalan Dengkil, Kota Warisan, pemandu kereta yang berada di lorong kiri telah terima mesej daripada aplikasi e-hailing di telefon bimbit dan bertindak memeriksa mesej tersebut.

"Semasa memeriksa mesej tersebut, pemandu kereta telah terlanggar belakang sebuah basikal dan kemudian basikal itu terlajak ke hadapan terlanggar seorang lagi penunggang basikal yang lain.

"Akibat kemalangan tersebut, kereta itu mengalami kerosakan di bahagian bumper dan bonet hadapan, manakala kerosakan penunggang basikal di bahagian tayar serta rim belakang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Wan Kamarul berkata, pemandu kereta serta seorang penunggang basikal telah membuat laporan polis dan diambil rakaman percakapan. -Sinar Harian